TUTONG, Isnin 3 Feb 2020 – Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membuat penangkapan ke atas dua orang suspek lelaki warga tempatan berhubung kes curi tabung masjid yang telah dilaporkan berlaku di Masjid Kg Birau, Lamunin pada 1 Februari 2020 yang lalu. 

Tertuduh Abdul Aziz bin Haji Awang Brahim, 19 tahun dan Mohd Hafiz bin Hamran, 18 tahun kedua-dua tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 3 Februari 2020 bagi sebutan kes atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan. 

Kedua tertuduh telah mengaku bersalah di hadapan Hakim Majistret dan Pihak Mahkamah telah mengarahkan kedua tertuduh dilepaskan jamin Mahkamah sebanyak BND3,000 atau seorang penjamin tempatan, walau bagaimanapun memandangkan tidak ada penjamin, kedua tertuduh kemudian direman di Penjara Maraburong sehingga 25 Februari 2020 bagi penetapan hukuman. 

PPDB menggesa kepada masyarakat awam agar sentiasa memantau dan menasihati ahli keluarga terutama sekali melibatkan kalangan remaja agar jangan terjerumus dengan kegiatan-kegiatan jenayah yang boleh sahaja merosakkan dan menghancurkan masa hadapan mereka.  

Institusi kekeluargaan amat penting dan berperanan dalam membentuk sahsiah para remaja supaya tidak mudah terpengaruh dengan faktor persekitaran dan pergaulan sosial. 

Ambillah peranan serta bimbinglah mereka kerana mereka (remaja) merupakan penaung dan bakal-bakal pemimpin di masa hadapan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​