BERAKAS, Selasa 28 Jan 2020 – Hasil daripada maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan, keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi mengejut ke atas satu kegiatan perjudian haram, semalam. 

Serbuan yang dijalankan pada sekitar jam 1 pagi tersebut mensasarkan sebuah rumah kediaman bertempat di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Lambak Kanan. 

Ruangan kosong terbuka di bahagian belakang rumah sasaran telah dijadikan tumpuan para pejudi tegar bermain permainan judi katam-katam disebabkan lokasi yang terselindung yang ditutupi oleh kain kanvas. 

Sebaik menyedari kehadiran pihak polis kesemua kaki judi bertempiaran melarikan diri. Walau bagaimanapun, pihak polis berhasil menahan 9 suspek kesemuanya iaitu seramai 6 orang warga tempatan, 2 orang penduduk tetap dan seorang (1) warga Indonesia. 

Pihak Polis turut menemukan peralatan-peralatan permainan judi yang sempat disembunyikan oleh suspek-suspek judi iaitu kain katam-katam, buah dadu, Kong yang dijadikan tempat penyimpanan dadu beserta sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk bermain judi. Suspek beserta barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) kesalahan melibatkan pengendalian tempat perjudian dibawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.   

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktivitiaktiviti haram di negara ini.   

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​