BERAKAS, Isnin 27 Jan 2020 – Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menahan dua (2) orang warga tempatan dipercayai terlibat dengan kes curi di tiga (3) tempat kejadian jenayah yang berasingan di kawasan Mukim Berakas.
Suspek pertama bernama Pengiran Mohammad Ibnu bin Pengiran Haji Othman berumur 30 tahun manakala suspek kedua bernama Mohamad Alif bin Abdullah berumur 36 tahun, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Pada kejadian pertama dan kedua berlaku pada sekitar bulan Disember 2019 di mana suspek pertama telah didapati mengambil dua (2) unit bateri kereta dan satu unit telefon bimbit di dua (2) buah premis perniagaan yang berasingan di kawasan Lambak Kanan.
Manakala kejadian ketiga berlaku pada 3 Januari 2020, di mana aduan telah melaporkan kehilangan barang peribadinya termasuk kad ATM, wang tunai dan beberapa utas jam tangan di dalam almari di rumah kediamannya di kawasan Lambak Kanan.

Susulan daripada kejadian curi itu, penemuan bahan bukti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi telah memaparkan kelibat suspek pertama dan kedua semasa transaksi pengeluaran wang yang dimiliki mangsa di salah sebuah mesin Bank ATM dan ianya telah membantu pihak polis bagi menjejaki dan mengenal pasti kedua suspek.
Pada hari ini 27 Januari 2020, kedua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas kesalahan di bawah Seksyen 379 dan 380 serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan terhadap Pengiran Mohammad Ibnu bin Pengiran Haji Othman Abdullah selama 8 bulan di Penjara Maraburong bermula tarikh 11 Januari 2020 manakala Mohamad Alif bin Abdullah ditahan reman sehingga 10 Februari 2020 bagi sebutan kes selanjutnya.
PPDB ingin menegaskan kepada orang awam bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan tegas dan akan menghadapkan ke muka pengadilan kepada sebarang individu atau kumpulan yang melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
