TUTONG, Ahad 26 Jan 2020 – 7 orang individu ditahan oleh Pihak Polis bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba haram bertempat di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.
Daripada pemantauan dan risikan yang telah dijalankan oleh Pihak Polis telah membuahkan hasil dimana operasi mengejut tersebut telah berhasil menahan 7 buah kenderaan yang dipercayai menjalankan aktiviti perlumbaan di kawasan jalanraya berdekatan tempat tersebut.

Operasi pada malam itu diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Husmawati bte Pg Hussin, Penolong Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Maressa bte Morsidi dan Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani beserta pihak Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Penguatkuasa Kanan Sheikh Mohd Yusri, Pegawai Penguatkuasa Norazme dan Aji Bin Rashid.
Kesemua yang ditahan adalah sekitar umur 20an dan kenderaan mereka disita justeru dibawa ke Balai Polis Tutong , Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi menjalani siasatan lanjut dan kemudiannya diserahkan ke JPD bagi menjalani pemeriksaan kelayakan kenderaan.
PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba atau menunjuk jaguh sehingga menyusahkan orang lain.
Pihak Polis juga tidak akan bertolak ansur dan akan menjalankan tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa kompromi.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
