PANAGA, Khamis 23 Jan 2020 – Seramai 6 orang pemandu telah diambil tindakan kompaun polis atas beberapa kesalahan melibatkan Akta Lalulintas.
Lesen memandu mansuh, kenderaan tidak dalam keadaan baik, cukai jalan mansuh serta memasang pelekat plastik filem di cermin kenderaan merupakan kesalahan-kesalahan yang ditemukan hasil daripada dua (2) sekatan jalanraya yang telah dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Panaga, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Jalan Tengah Panaga Seria pada 22 dan 23 Januari 2020.
Di samping itu, pihak polis juga telah mengeluarkan surat peringatan kepada beberapa pemandu kenderaan atas kesalahan plat lampu kenderaan tidak bernyala, hon tidak berfungsi serta beberapa kesalahan lain.
Di kesempatan ini, PPDB sentiasa menjalankan operasi sepertinya dalam meningkatkan kesedaran dan mengingatkan orang ramai akan pentingnya menjaga keselamatan diri dan juga para penumpang sewaktu memandu di atas jalanraya. Penekanan juga diterapkan bagi mendidik para pemandu untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di negara ini serta memastikan kenderaan yang dipandu menurut spesifikasi yang dibenarkan oleh pihak-pihak berwajib.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
