GADONG, Sabtu 4 Jan 2020 – Majlis Dikir merupakan salah satu acara yang diselitkan di dalam program upacara sebelum perbarisan tamat latihan bagi pelatih-pelatih rekrut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada petang tadi. 

Majlis Dikir yang diungkayahkan oleh Pusat Latihan Polis (PLP) telah berlangsung di Dewan Serbaguna, PLP Gadong yang melibatkan pelatih-pelatih pengambilan Polis Konstabel Skuad 1/2019 seramai 78 orang lelaki serta pelatih-pelatih pengambilan Polis Tambahan (APO) skuad 1/2019 seramai 25 orang lelaki. 

Majlis yang diraikan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. 

Turut hadir pegawai-pegawai Kanan, jemputan khas, anggota-anggota PPDB serta ahli-ahli keluarga para pelatih yang diraikan.    

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al – Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh 6766 Jaafar Sadiq @ Adeeq Aqiel bin Abdullah pelatih Polis Konstable Lelaki dan juga merangkum mengepalai bacaan Dikir As-Salai dan Marhaban beramai-ramai.  

Majlis kemudian diikuti dengan acara menabur bunga rampai dimulai oleh tetamu kehormat dan disusuli oleh jemputan dan ahli keluarga pelatih.    

Sebelum mengakhiri majlis, doa selamat telah dibacakan oleh pelatih Polis Konstable Lelaki 6766 Jaafar Sadiq @ Adeeq Aqiel bin Abdullah.  

Para pelatih-pelatih akan menamatkan latihan kepolisan dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang akan diadakan pada 9 Januari 2020 bertempat di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis (PLP) setelah menjalani latihan asas di PLP sejak 17 Jun 2019 bagi Polis Konstabel dan Polis Tambahan (APO). 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​