BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 2 Jan 2020 – Melalui bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah berhasil menahan seorang suspek yang dipercayai telah melakukan curi di salah sebuah gedung perniagaan membeli belah di kawasan Gadong.  

Insiden berlaku pada 29 Disember 2019 di mana pekerja kedai telah membuat pemeriksaan dan penelitian terhadap rakaman CCTV berikutan laporan beberapa barangan kedai telah didapati hilang dan dipercayai dicuri. Perkara ini kemudian disalurkan ke Pengawal Keselamatan bertugas bagi pengawasan di kawasan premis tersebut. 

Pada 1 Januari 2020, salah seorang pengawal keselamatan bertugas telah mengenal pasti suspek berpandukan maklumat yang diperolehi daripada rakaman CCTV sedang berada di kawasan premis tersebut. Suspek lalu berhasil ditahan dan Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dihubungi bagi tindakan siasatan. 

Hasil daripada siasatan pihak Polis, suspek dipercayai telah mengambil 1 utas jam tangan serta 3 bentuk cincin dari kedai berkenaan. Kesemua barang bukti telah ditemui semasa pemeriksaan yang dijalankan di rumah suspek. 

Suspek bernama Yii Toh Cheng berumur 48 tahun dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu melakukan jenayah curi. 

Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas suspek pemenjaraan selama 1 minggu  di Penjara Jerudong bermula pada 2 Januari 2020 kerana gagal membayar hukuman denda sebanyak BND$500. 

Dengan kelebihan teknologi yang ada pada ketika ini diharap dapat membantu pihak polis dalam mengesan aktiviti jenayah dengan lebih mudah dan berkesan. Di samping itu juga, PPDB mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam sama-sama menjaga keamanan serta keharmoian negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​