BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 2 Jan 2020 – Dua orang warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini 2 Januari 2020 berikutan aduan yang dilaporkan melibatkan kes curi di Stor Flat Pangsa Jalan Padang, Berakas.
Kedua-dua suspek bernama Zardon Andrade Estrera berumur, L.37 tahun merupakan seorang pemandu manakala suspek kedua MA. Teresa Besejos Merasol, P.43 tahun bekerja sebagai pembantu rumah.
Hasil siasatan dari keanggotaan Balai Polis Berakas, Zardon Andrade Estrera telah mengambil beberapa barang yang disimpan di dalam plastik sampah kepunyaan majikannya di Jalan Bedil Berakas dibantu oleh MA. Teresa Besejos Merasol lalu memindahkannya ke stor pangsa Jalan Padang Berakas. Menurut suspek, barang-barang tersebut untuk dibawa pulang ke negara asalnya (Filipina) untuk diberikan kepada keluarganya dan untuk keperluannya sendiri.

Suspek menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 381 dibacakan dengan Seksyen 34 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu pekerja melakukan jenayah curi ke atas harta milik majikan yang dilakukan oleh beberapa orang bagi mencapai niat bersama.
Pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan terhadap kedua tertuduh selama 10 bulan di Penjara Maraburong dan Penjara Jerudong.
PPDB ingin menasihati orang ramai agar menghindari daripada melakukan perbuatan curang serta mengkhianati dan menyalahgunakan kepercayaan yang telah diamanahkan dalam menjalankan tugasan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
