SERIA, Isnin 23 Dis 2019 – Sebanyak 5 kesalahan di bawah akta imigresen telah ditemui hasil daripada Operasi Sepadu yang dijalankan di Daerah Belait semalam. 

Operasi yang dijalankan melibatkan 5 buah agensi penguatkuasa undang-undang itu telah mensasarkan dua (2) lokasi rumah pekerja asing di bawah tadahan kawasan Seria. 

Seramai 53 orang pegawai dan anggota terdiri daripada Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) telah ikut serta yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Syed Mohammad Afidzul Aziz bin Sheikh Haji Abu Bakar. 

Semasa pemeriksaan dijalankan semalam, pihak JIPK telah mengeluarkan 5 pas khas (Special Pass) kepada 5 orang pekerja asing setelah didapati melanggar akta dan untuk siasatan lanjut jabatan berkenaan. 

Agensi Penguatkuasa undang-undang akan sentiasa komited dan berterusan dalam menegakkan perundangan negara ini untuk memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa bersih daripada segala anasir-anasir negatif yang menyumbang kepada kejadian-kejadian jenayah. 

Orang ramai juga diseru untuk sentiasa memberikan kerjasama yang padu dalam penyaluran dan perkongsian maklumat melalui talian-talian kecemasan pihak-pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​