BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 23 Dis 2019 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan seorang lelaki warganegara tempatan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 23 Disember 2019 kerana dipercayai terlibat dengan percubaan melakukan curi minyak di kawasan rumah kediaman Kg Sengkarai, Tutong. 

Insiden berlaku pada 21 Disember 2019 di mana mangsa (tuan rumah) yang baru pulang ke rumah telah menemukan satu beg yang mencurigakan berada di atas lantai kawasan garaj rumah. Mangsa segera membuat pemeriksaan di kawasan persekitaran rumah dan mendapati pintu pagar belakang dalam keadaan terbuka lalu menemui seorang individu (suspek) yang tidak dikenali bersembunyi di dalam kawasan longkang rumah. Justeru, mangsa serta keluarga telah berhasil menahan suspek dan menghubungi pihak polis bagi tindakan dan siasatan lanjut. 

Suspek bernama Mohamad Faizul bin Brahim, 23 tahun bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah syarikat swasta telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 bulan atas pertuduhan di bawah Seksyen 511 dibacakan dengan seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan percubaan mencuri. Tertuduh menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Maraburong bermula 23 Disember 2019. 

Pihak Polis menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah yang boleh sahaja menghancurkan dan merosakkan masa hadapan.  

PPDB juga mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan orang ramai dan berharap perkongsian maklumat dan kerjasama sentiasa diberikan bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​