BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 10 Dis 2019 – Dua (2) orang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada hari ini berikutan kes curi di sebuah kedai perniagaan di kawasan Pekan Muara yang telah dilaporkan pada 2 Disember 2019.
Hasil daripada siasatan keanggotaan Balai Polis Muara menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada aduan, mendapati kelibat dua orang lelaki bertopeng melakukan curi dan setelah diperiksa di dalam stor kedai tersebut didapati beberapa karton minuman pelbagai jenis telah hilang dari tempat simpanan.
Melalui pemantauan dan siasatan telah berhasil membuat penahanan ke atas dua orang suspek berkenaan. Suspek pertama Muhammad Azemi bin Hassim, 34 tahun dan suspek kedua, Asrimi @ Azmi bin Damit, 44 tahun, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Siasatan lanjut juga mendapati yang mana kedua-dua suspek ada terlibat dalam empat (4) buah kes curi kereta dan kesemuanya telah berjaya dijejaki semula.
Kedua-dua suspek menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 (Curi) dan Seksyen 380 (Curi Dalam Bangunan) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan hasil perbicaraan daripada pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan kepada suspek pertama selama 2 tahun 6 bulan, manakala suspek kedua untuk selama 3 tahun 4 bulan, bermula pada hari ini 10 Disember 2019.
PPDB ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dalam penyaluran maklumat bagi matlamat pembanterasan aktiviti-aktiviti jenayah. Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di negara ini dan Pasukan PDB juga akan berusaha memantau dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan untuk dihadapkan ke muka pengadilan dan menghukum ke atas kesalahan yang telah dilakukan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
