LIMAU MANIS, Jumaat 6 Dis 2019 – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menggagalkan satu aktiviti cubaan membawa masuk barangan tegahan di kawasan Simpang 2302 Kg Junjongan, Limau Manis, Daerah Brunei Muara. 

Semasa anggota bertugas sedang giat menjalankan rondaan telah menemukan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba untuk keluar daripada laluan jalan tikus. Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan beberapa barangan tegahan seperti penemuan 1 paket kecil dipercayai mengandungi dadah beserta peralatan menghisap dadah dan juga 2 kotak rokok jenama Era. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan bernama Haji Adanan bin Haji Sulaiman berumur 44 tahun dan tidak bekerja ditahan dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis beserta barang rampasan bagi penyerahan siasatan kepada pihak-pihak berkenaan. 

PPDB melalui Pasukan Simpanan Polis C Kompeni akan sentiasa menjalankan operasi dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara ini dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI