BRUNEI MUARA, Sabtu 23 Nov 2019 – Risikan serta pemantauan yang dijalankan membuahkan hasil bilamana kegiatan sarang judi bejaya dihidu dan ditumpaskan.
Serbuan yang dijalankan pada sekitar jam 5 petang tersebut mensasarkan sebuah bilik di alamat No A6, Tingkat 1, Spg 15, Bangunan Dayang Napiah, Kg Menglait yang telah dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Operasi yang dikendalikan pada lewat petang 23 November 2019 itu berhasil memberkas seramai 6 orang kaki judi yang sedang asyik bermain perjudian jenis dalam talian dipercayai SCR888, di samping itu turut ditemui permainan set judi Jinrami Batu dan penemuan lebih kurang 60 tin minuman keras pelbagai jenama.

Semasa operasi serbuan dijalankan, beberapa suspek telah cuba untuk melarikan diri dari tempat kejadian melalui tingkap rumah berkenaan. Walau bagaimanapun, berjaya ditahan kesemuanya.
Kesemua suspek terdiri daripada :
1. Khairul Amali bin Mohammed Zinrozman, 29 tahun, anggota beruniform.
2. Sapar bin Timan, 60 tahun, tidak bekerja.
3. Mohammad Ali bin Haji Mohamad, 27 tahun, tidak bekerja.
4. Lee Sam, 50 tahun, warganegara Malaysia, bekerja sendiri.
5. Aling Kartono, 44 tahun, penduduk tetap, tidak bekerja.
6. Chong Kam Keong, warganegara Malaysia, tidak bekerja.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini. Turut ditekankan dan dinasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur dan pemain.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
