LAMUNIN, Sabtu 23 Nov 2019 – Pada 19 November 2019, satu aduan telah dilaporkan ke Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berikutan kejadian curi yang berlaku di kawasan rumah kediaman di Kampung Biong, Jalan Rambai Tutong.
Siasatan yang dijalankan juga telah berjaya membuat penahanan ke atas seorang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut. Suspek berkenaan bernama Awangku Abdul Fadzri bin Pengiran Abd Karim, 35 tahun, tidak bekerja dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 21 November 2019 dan permohonan reman telah diluluskan oleh pihak mahkamah sehingga 25 November 2019 bagi siasatan lanjut.
Hasil daripada siasatan juga mendapati kereta yang digunakan suspek adalah berhubung dengan aduan kes curi kereta yang pernah dilaporkan di Balai Polis Sengkurong dan Balai Polis Pusat. Kereta berkenaan telah ditukar nombor pendaftaran dan digunakan untuk memecah masuk rumah.

PPDB ingin menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam. Dalam masa yang sama mengalu-alukan sokongan daripada masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah dengan menyalurkan maklumat secepat mungkin yang membolehkan tindakan sewajarnya dijalankan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
