BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 23 Nov 2019 – Mesyuarat Tiga Hala bersama Jabatan Siasatan & Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia PDRM Kontingen Sabah dan Sarawak yang diadakan pagi ini adalah hasil daripada kesinambungan permesyuaratan dua hala yang telah dikendalikan sebelum ini di Miri Sarawak pada 29 November 2018 dan di Kota Kinabalu Sabah pada 3 Julai 2019.   

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Persidangan, Mess Pegawai PPDB telah dipengerusikan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Hj Ahmad, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Yang Mulia Dato Azisman bin Alias, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, PDRM. Turut hadir ialah Penguasa Polis (Supt) Yang Mulia Pengiran Hj Abdul Salam bin Pg Hj Abdul Ghani, Pemangku Pengarah JSKLL, PPDB.   

Seramai 17 orang delegasi dari PDRM terdiri daripada tiga (3) pegawai dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur, lima (5) anggota dari Kontingen Sabah dan Sembilan (9) anggota daripada Kontingen Sarawak.  

Adapun mesyuarat ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam peringkat strategik di antara JSKLL, PPDB bersama Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, PDRM khususnya Kontingen Sabah & Sarawak terutama dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalulintas di negara masing-masing.   

Selain itu, mesyuarat ini membahas mengenai kaedah-kaedah yang terbaik atau best practices yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua Jabatan, mengongsikan perkembangan-perkembangan terkini dalam hal ehwal penguatkuasaan undang-undang dengan mengambil kira aspek pematuhan serta perlaksanaan peraturan masing-masing.   

Di samping itu, ianya juga memberi peluang kepada kedua-dua Jabatan untuk memperjelaskan bukan sahaja mengenai perihal penguatkuasaan akta lalulintas bahkan menjurus kepada isu-isu berkaitan jenayah rentas sempadan.  

Mesyuarat tiga hala ini juga dirancang untuk diadakan secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI