LAMUNIN, Selasa 19 Nov 2019 – Dua orang lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai mencuri lebih kurang sebanyak 60 biji buah mangga milik mangsa di kawasan Kampung Piasan Lamunin pada 16 dan 17 November 2019 yang lalu. 

Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil membuat penahanan terhadap dua suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan bernama Mohammad Khairil bin Awang Kassim, 26 tahun dan Mazlan bin Tali, 41 tahun atas maklumat yang diperolehi daripada orang ramai. 

Hasil siasatan awal mendapati kedua suspek telah mengambil buah mangga berkenaan bersama seorang lelaki dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Suzuki Celerio berwarna hitam. Buah mangga tersebut kemudiannya dijual di gerai kawasan Gerai Sayur Kg Mulaut dan jumlah hasil jualan dua hari berturut-turut itu sebanyak BND$76 ringgit.   

Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 19 November 2019 dan pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan reman sehingga 23 November 2019 bagi pihak polis membuat siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka kepada persekitaran dan tidak mendedahkan peluang kepada pelaku jenayah untuk mengambil kesempatan dan melakukan jenayah. Segera laporkan sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis sama ada melalui talian kecemasan polis 993 atau pun mana-mana balai polis yang berdekatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI