MUARA, Sabtu 16 Nov 2019 – Penemuan Dadah dan Senjata dalam satu serbuan Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) semalam telah mengheret seorang lelaki warga tempatan bagi ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Hasil daripada serbuan yang dijalankan pada sekitar jam 9.45 malam di alamat No 18 Spg 32 Jalan Bukit Pandayan, Kampong Panchor, Mengkubau itu telah menemukan 1 paket kecil dipercayai mengandungi dadah beserta peralatan untuk menghisap dadah.
Turut ditemui semasa serbuan ialah 3 laras senjata api buatan sendiri dan beberapa butiran guli dipercayai digunakan sebagai peluru tersimpan di dalam rumah suspek.
Semasa penemuan senjata tersebut, Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dihubungi bagi peralihan siasatan melibatkan suspek dan barang rampasan.

Suspek bertugas sebagai seorang pemandu di salah sebuah Jabatan Kerajaan bernama Hairul Mizan bin Haji Md Husain berumur 42 tahun.
Berikutan dengan penemuan itu, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi berdepan dengan kesalahan Memiliki Senjata Api Tanpa Lesen di bawah Seksyen 17 (1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58.
Pihak PPDB menyeru kepada orang ramai supaya tidak memiliki, menyimpan atau membuat sebarang senjata api mahupun peluru yang mana ia merupakan kesalahan berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
