KUALA BELAIT, Jumaat 1 Nov 2019 – Seorang anak damit lelaki yang baru lahir dengan berat badan 2.48kg telah ditemui kira-kira 9 malam semalam dalam keadaan berbungkus dengan kain hitam yang diletakkan di atas kerusi di luar pejabat Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Kuala Belait segera dimaklumkan mengenai insiden tersebut. Pemeriksaan perubatan keatas anak damit lelaki itu segera dijalankan dan pada masa ini ditempatkan di Unit Rawatan Khas Anak Damit di hospital berkenaan. Anak damit yang ditemui didapati berada dalam keadaan yang sihat dan tidak mempunyai sebarang kecederaan.

Kes ini telah dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB untuk siasatan lanjut. Jabatan Pembangunan Masyarakat juga telah dimaklumkan bagi keperluan kesejahteraan dan kebajikan anak damit tersebut. Tiada penangkapan dibuat setakat ini berhubung kait dengan kes ini.
PPDB memohon kerjasama dari orang ramai untuk memberikan apa-apa maklumat yang boleh membantu penyiasatan kes ini. Orang ramai boleh menghubungi Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak di talian 2459500 sambungan 496, atau ditalian kecemasan Polis 993 atau dengan pergi ke balai-balai polis yang berdekatan. Kes ini adalah kes pembuangan anak damit pertama yang dilaporkan pada tahun ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
