Chile – Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali beserta delegasi telah hadir ke Perhimpunan Agung INTERPOL ke-88 di Santiago, Chile yang berlangsung pada 15 – 18 Oktober 2019. 

Perhimpunan agung tahunan tersebut telah dirasmikan oleh President Chile, Sebastián Piñera dan telah menyaksikan kehadiran lebih daripada 900 perwakilan dari 162 negara ahli INTERPOL dan beberapa organisasi pemerhati dan rakan kongsi INTERPOL.   

Semasa upacara pembukaan, Presiden INTERPOL Kim Jong-yang menzahirkan rasa penghargaannya terhadap kerjasama antara agensi polis negara-negara di seluruh dunia dalam memerangi jenayah dan ancaman keselamatan global. Beliau juga menyifatkan perhimpunan tersebut itu sebagai peluang terbaik bagi agensi kepolisan seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman dalam pencegahan jenayah mereka dalam hasrat untuk menjadikan dunia yang lebih selamat.   

Perhimpunan Agung INTERPOL kali ini telah membincangkan dan menerima pakai 13 resolusi yang berkaitan dengan dasar, kaedah koordinasi, isu kewangan dan program, dan aktiviti khusus yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara pasukan penguatkuasaan undang-undang negara anggota.   

Delegasi-delegasi ke perhimpunan tersebut juga telah sebulat suara mengundi dan melantik semula Mr Jürgen Stock selaku Ketua Setiausaha INTERPOL bagi kali kedua untuk penggal 2019-2024, Di samping itu, seramai empat orang ahli baru juga dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif.   

Perhimpunan Agung INTERPOL seterusnya akan diadakan di Uruguay pada tahun 2020. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI