TUTONG, Isnin 21 Oktober 2019 – Sesi permuzakarahan suku tahun kedua dan ketiga Pengawasan Kejiranan (PK) bagi Daerah Tutong telah berlangsung dalam tiga (3) sesi berasingan yang diadakan pada 21 dan 22 Oktober 2019.
Dalam sesi pertama permuzakarahan dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Yang Mulia Timbalan Penguasa Polis (DSP) Handrie bin Haji Amin yang turut dihadiri oleh para Penghulu-Penghulu Mukim di Daerah Tutong bertempat di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong.

Manakala bagi sesi kedua (2) dan ketiga (3) permuzakarahan bersama ketua-ketua kampung yang dipengerusikan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani dan Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhd Zulfadli bin Hj Mohd Yussof.
Agenda perbincangan menyentuh mengenai proses dan aktiviti PK sepanjang bulan April sehingga bulan September 2019, statistik 6 bulan kebelakangan menjurus kepada laporan-laporan jenayah dan lalulintas yang diterima di Balai Polis Tutong dan Lamunin serta laporan operasi dan tangkapan yang dibuat oleh keanggotaan Daerah Polis Tutong.
Perjumpaan ini juga merupakan satu strategi Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat awam dalam sama-sama membantu mencegah jenayah serta mewujudkan suasana yang lebih selamat di kalangan masyarakat dan persekitaran kampung.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
