Khamis, 24 Oktober 2019 – Koliberasi berterusan di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama masyarakat awam melalui program Pengawasan Kejiranan (PK) menjadi pemangkin dalam hala tuju untuk menyaksikan negara ini bebas daripada apa jua kegiatan jenayah dan pengaruh-pengaruh negatif.
Kesatuan koliberasi yang dibina ini juga diharap dapat mendidik masyarakat awam akan betapa pentingnya keperihatinan sesama berjiran dalam menjaga keselamatan kawasan persekitaran dan rumah kediaman.
Menyahut seruan tersebut, beberapa buah kampung telah menggerakkan program PK ini melalui rondaan pencegahan jenayah bersama Pegawai-Pegawai Menguasa Balai dan ahli-ahli PK.

BELAIT – Empat (4) kampung di Daerah Belait terus mengaktifkan rondaan pencegahan yang melibatkan ahli PK Perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Seria, ahli PK daripada Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Panaga, ahli PK Kg Sg Liang, ahli PK Kg Sg Teraban dan ahli PK Kg Merangking.
TEMBURONG – Kampung Senukoh merupakan destinasi rondaan pencegahan jenayah yang dikendalikan oleh Balai Polis Bangar dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai, Inspektor Muhammad Ajib bin Haji Ahmad Awal bersama-sama Ketua Kampung Senukoh selaku Pengerusi PK, Yang Mulia Yusof bin Hj Maidin.
BRUNEI MUARA – Lima (5) rondaan pencegahan jenayah telah diselenggarakan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis di bawah tadahan masing-masing melibatkan ahli PK Tamoi Tengah / Tamoi Ujong, ahli PK RPN Kg Tanah Jambu, RPN Kg Panchor Mengkubau, Kg Batong dan ahli PK Kg Kulapis.
Rondaan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai tujuan rondaan beserta penerangan terhadap langkah-langkah keselamatan semasa rondaan dijalankan. Rondaan menggunakan basikal mengelilingi kampung merupakan inisiatif program ini selain rondaan berjalan kaki.
TUTONG – 5 orang ahli PK Kg Penapar mengaktifkan rondaan pencegahan jenayah yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Md Hani bersama 8 keanggotaan balai berkenaan. Tumpuan lokasi di kawasan Jalan Sekolah, Jalan Kecil Penapar/Layong/Ukong sehingga ke Jalan Kecil Sebakit Atas.
Sepanjang kesemua rondaan tidak ada menemukan sebarang kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang mahupun berupa jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
