TUTONG, Sabtu 12 Oktober 2019 – Sebanyak 17 kesalahan kompoun telah dikeluarkan oleh pihak polis hasil daripada operasi sekatan jalanraya mingguan yang telah dikendalikan oleh Balai Polis Lamunin dan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semalam.
Bagi Balai Polis Lamunin, Operasi diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Md Zulfadli bin Hj Awg Yusof bersama 13 anggota balai yang menumpukan di kawasan Simpang 4 Kampung Lamunin/Layong, Tutong.
Operasi tersebut berhasil mengeluarkan sebanyak 6 kesalahan kompoun antara lain melibatkan kesalahan tidak memasang tali pinggang keselamatan dan pemasangan cermin pelekat plastik filem.
Manakala bagi Balai Polis Tutong, seramai 16 orang anggota yang terlibat menjalankan operasi berkenaan yang menumpukan di kawasan Kampung Kupang, Tutong.
Sebanyak 11 kesalahan kompoun ditemui hasil operasi berkenaan juga melibatkan kesalahan mengubah suai kenderaan dari asal, tayar tidak layak untuk digunakan di atas jalanraya (nampak benang) serta kenderaan yang tidak layak digunakan dari segi keselamatan.

PPDB akan sentiasa berterusan menjalankan operasi sedemikian bagi memastikan para pengguna jalanraya sentiasa patuh dengan peruntukkan undang-undang jalanraya yang sedia ada di samping berusaha bagi mengesan, menjejak serta menahan sebarang individu-individu yang dicurigai yang cuba untuk melakukan jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
