BRUNEI MUARA, Ahad 29 Sept 2019 – Kewujudan Pengawasan Kejiranan (PK) di negara ini memaparkan sesebuah kesepakatan yang terjalin di kalangan ahli masyarakat kampung dalam sama-sama menanai tanggungjawab untuk menyaksikan negara ini bebas daripada jenayah.
Selain penguatkuasa undang-undang, tugas menjaga keselamatan diri dan juga keselamatan kawasan kediaman merupakan tanggungjawab yang perlu sama-sama dipikul oleh semua pihak. Sikap pemedulian, mahu bekerjasama dan tidak pentingkan diri sendiri akan mewujudkan satu komuniti yang sentiasa melengkapi dengan suasana aman dan harmoni.
Hasrat yang diharapkan telah dikendalikan dengan sebaiknya oleh beberapa kampung di negara ini seperti membantu membuat kawalan keselamatan, pemantauan dan juga rondaan bersama keanggotaan Pasukan Polis Diraja Brunei melalui fokal point PK yang dilantik di bawah kawalan Balai-Balai Polis.
Antara lain kampung-kampung yang mengendalikannya ialah ahli PK Kg Junjongan bersempena Acara Ceramah Sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah di kawasan Masjid Kg Junjongan, ahli PK Kg Pudak, ahli PK Kg Bakiau/Pangkalan Mau Lamunin dan ahli PK Rumah Panjang Mandaram Besar Labi.
Keperihatinan yang dibina sesama berjiran mendatangkan kesan dan impak yang positif terhadap bermasyarakat. Di samping itu juga, permuafakatan yang jitu di kalangan penduduk kampung dilihat akan dapat mengelakkan kejadian-kejadian tidak diingini seperti gejala-gejala buruk, pengaruh negatif dan ancaman jenayah dapat dibanteras dan dicegah dengan sewajarnya.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
