BERAKAS, Rabu 25 Sept 2019 – Satu rakaman video telah tular dan tersebar di media sosial memaparkan seorang individu telah diberkas dan ditahan oleh beberapa anggota Polis Lapangan Terbang di kawasan kaunter Check-In penerbangan Air Asia, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Berikutan kejadian itu, Balai Polis Berakas turut mengesahkan akan kejadian berkenaan melalui panggilan kecemasan yang diterima pada 24 September 2019 sekitar jam 2 – 2.30 petang.
Siasatan pihak polis juga mendapati individu yang ditahan merupakan seorang lelaki warganegara China bernama Peng Du berumur 40 tahun dipercayai menimbulkan kekecohan di kaunter pertanyaan kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan bagasi. Walau bagaimanapun, siasatan pihak polis masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berlaku.
Adalah dinasihatkan kepada orang ramai yang berada di tempat kejadian atau mengetahui tentang kejadian ini disarankan untuk tampil bagi memberikan kerjasama kepada Pihak Polis bagi membantu siasatan berhubung rakaman video berkenaan.
Di samping itu, PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai untuk berhenti menyebarkan dan tidak menularkan lagi rakaman video kejadian kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses penyiasatan dan mendatangkan implikasi negatif dan tanggapan kejadian sebenar.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
