GADONGSabtu 21 Sept 2019 – Seramai 24 rombongan Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam telah menghadiri satu sesi taklimat jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berlangsung di Mess Pegawai PPDB, Gadong.

Perjumpaan tersebut yang julung-julung kali diadakan telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis. Turut hadir Yang Mulia Dato Paduka Hj Mohd Nor bin Hj Jeludin, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama Pengarah-Pengarah serta pegawai-pegawai PPDB dan pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Sesi perjumpaan didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat beramai-ramai yang diketuai oleh A/Sgt 6472 Mohamad Yusri Bin Haji Abu Bakar dan seterusnya ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis. Sementara taklimat jenayah pula disampaikan oleh Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Hj Awang Mohammad Hassan Bin Pehin Penyurat Haji Awg Ahmad, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Antara lain intipati perjumpaan adalah menjurus kepada perkongsian maklumat mengenai kejadian-kejadian jenayah pecah rumah yang berlaku dibeberapa buah Pejabat Kedutaan & Rumah Duta. Dalam masa yang sama pihak PPDB juga memberi saranan tentang langkah-langkah keselamatan untuk menghindari kejadian jenayah serupa berulang lagi.

Di samping itu, sesi perjumpaan ini juga diselitkan dengan sesi soal-jawab di mana perbincangan secara terbuka ini bertujuan membuka minda sejauh mana tindakan pihak Polis telah berusaha menangani isu-isu tren jenayah yang berlaku ketika ini di samping memberikan kefahaman tentang kelebihan kerjasama antara dua belah pihak.

Perjumpaan ini juga mencerminkan persefahaman yang wujud, permuafakatan yang terjalin serta hubungan kerjasama yang mantap antara pihak PPDB dengan semua Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI