Jumaat, 13 Sept 2019 – Keutuhan hubungan bermasyarakat sesama berjiran mewujudkan banyak kebaikan dan manfaat daripadanya. Hidup berjiran juga memupuk semangat toleransi, saling mempercayai, sikap pemedulian dan kekitaan sesama berjiran. Jika perkara ini diabaikan dan diperlekehkan lambat laun akan mengundang pelbagai permasalahan, perbalahan mahupun perpecahan.
Oleh itu, perpaduan bermasyarakat haruslah dipupuk dan dibina seawal mungkin bagi melahirkan sahsiah dan model insan yang berminda kelas pertama serta berperanan dalam menghidupkan suasana kehidupan berjiran yang aman dan harmoni.
Antara lain bentuk strategi bagi mencapai perpaduan bermasyarakat adalah melalui program yang sudah lama diperkenalkan iaitu Pengawasan Kejiranan (PK). Menerusi program ini, pihak kejiranan bukan sahaja bekerjasama sesama pihak polis dalam menjaga keselamatan kampung, bahkan menjurus kepada mengeratkan talian silaturahim, kenal mengenai di antara kampung setempat.
TUTONG – Seramai 17 keanggotaan balai Polis Tutong serta ahli PK Kg Penabai ikut serta di dalam rondaan pencegahan jenayah yang menumpukan di kawasan Jalan Tutong, penurunan/penaikan perahu kampung Kuala Tutong serta persekitaran Jalan Tembok Kuala Sungai Tutong.
LAMUNIN – Pmk Ketua Kg Long Mayan, Yang Mulia Muhammad Eddy Suffian bin Abdullah bersama 4 anggota Balai Polis Lamunin turut menjalankan rondaan ke kawasan menuju ke Kg Merangking, kawasan tapak sekolah lama serta persekitaran Kg Long Mayan. Tujuan rondaan dibuat bagi memastikan persekitaran perkampungan dalam keadaan yang baik dan terkawal.
Beberapa kampung yang lain juga aktif menjalankn aktiviti rondaan yang sama seperti ahli-ahli PK Bukit Sawat Labi, gabungan bersama PK Kg Labu Estate dan PK Kg Piasau-Piasau, STKRJ Lorong 3 Seria, Kg Bolkiah A & B serta PK Kg Ukong. Hasil daripada kesemua rondaan yang dijalankan tidak ada menemukan sebarang perkara-perkara yang mencurigakan dan menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga mengambil kesempatan mengalu-alukan dan menyeru para belia dari pelbagai peringkat umur untuk ikut serta dan menyertai Pengawasan Kejiranan di kampung masing-masing bagi sama-sama memastikan keselamatan kawasan di kampung mereka bebas dari jenayah.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
