Rabu, 4 September 2019 – Intipati program yang diselenggarakan oleh Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) adalah menjurus kepada penglibatan masyarakat awam bersama pihak polis dalam mengawasi keselamatan jiran, harta benda, berkongsi maklumat serta melaporkan kegiatan-kegiatan mencurigakan kepada Pihak Polis. 

Justeru, secara holistiknya ianya merupakan suatu perkongsian tanggungjawab yang perlu ditanai bersama-sama dalam menjadikan kawasan kediaman dan persekitaran mereka lebih aman dan selamat. 

TEMBURONG – Pada 4 September 2019, satu rondaan telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar melalui Unit PK bersama kejiranan Kg Batang Tuau dan Kg Seri Tanjong Belayang, Temburong. 

Rondaan yang dijalankan pada sekitar awal malam tersebut melibatkan seramai 13 orang anggota dan ahli dan tumpuan rondaan di kawasan-kawasan Kebun Tanaman Kayu Gaharu, Dusun Buah-buahan sehingga ke kawasan Kolam Takungan Banjir. 

BELAIT – Dua (2) aktiviti rondaan turut dikendalikan di Daerah Belait melibatkan PK STKRJ Lorong 3 Seria dan PK Pekan Belait. 

Menyertai rondaan ialah Yang Mulia Haji Saidin bin Haji Ibrahim Ketua Kg Lorong 3 Seria dan Yang Mulia Awg Hj Pungut bin Ali Pmk Ketua Kg Pekan Belait. 

Fokus rondaan adalah kawasan barek kediaman, kawasan sekolah-sekolah, bangunan premis perniagaan serta flat-flat kediaman yang sudah kosong tidak berpenghuni. 

LAMUNIN – Seramai 7 orang yang terdiri daripada keanggotaan Balai Polis Lamunin dan ahli PK Kg Bukit Sulang / Menegah Lamunin menjalankan aktiviti rondaan pencegahan jenayah di kawasan perkebunan peladang kg tersebut. 

Hadir bagi bersama-sama memastikan kesejahteraan kampung ialah Pmk Ketua Kg Bukit Sulang / Menengah Lamunin, Yang Mulia Awang Miluddin bin Matusin beserta 2 orang anak buah kampung. 

Rondaan pencegahan yang dijalankan pada sekitar waktu pagi tersebut tidak menemukan sebarang kegiatan yang menyalahi perundangan negara ini. 

PPDB memohon sokongan dan penglibatan masyarakat awam bagi menatang tanggungjawab bersama ke arah pencegahan, pembanterasan dan pembendungan awal segala gejala dan kegiatan berunsurkan jenayah agar tidak berleluasa dan virus perosak kepada generasi yang akan datang. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI