BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 31 Ogos 2019 – Dua (2) orang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini kerana disyaki terlibat dengan kes curi di dalam kedai dobi. 

Tertuduh pertama Ahmad Razali bin Ismail berumur 23 tahun dan tertuduh kedua Harun bin Mail @ Hj Yusof berumur 43 tahun, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah dipercayai melakukan curi di kedai dobi layan diri Speed Queen, Lambak Kiri. 

Hasil siasatan telah mendapati salah seorang daripada suspek telah membuka pintu bilik kedai berkenaan dengan menggunakan sebilah gunting dan seterusnya melakukan curi lalu mengambil sejumlah wang tunai daripada mesin ‘token’ bernilai anggaran B$180. 

Manakala suspek kedua sedang menunggu di dalam kereta untuk bersedia melarikan diri dari tempat kejadian.  

Hasil daripada bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan telah membantu keanggotaan Balai Polis Berakas bagi menjejaki suspek sehingga tertangkap. 

Kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah dan telah direman di Penjara Maraburong untuk menantikan sebutan kes bagi jatuh hukuman pada 4 September 2019 yang akan datang. 

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memastikan harta benda dalam keadaan selamat. Jika ada berkemampuan disarankan agar dapat memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) agar dapat membantu siasatan jika ada sebarang kejadian jenayah berlaku. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI