BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 6 Ogos 2019 – Enam (6) orang lelaki warga tempatan telah berjaya ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana disyaki terlibat dalam kes curi yang berlaku pada 04 Ogos 2019 di kawasan Kg Sg Kayu Ara, Lumut.
Hasil siasatan yang dijalankan turut menemukan satu unit alat penghawa dingin dan satu mesin pencuci baju di salah sebuah rumah suspek dipercayai hasil daripada kegiatan curi tersebut.
Kesemua suspek yang terlibat berusia sekitar umur 16 hingga 34 tahun dan di antaranya masih bersekolah dan juga tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Suspek utama kes ini bernama Hj Abdul Razib bin Abdullah berumur 34 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 06 Ogos 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi Dalam Bangunan manakala 5 suspek yang lain menjadi saksi kes dan dilepaskan tanpa syarat.
Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada tertuduh dengan pemenjaraan selama 6 bulan di Penjara Maraburong bermula 06 Ogos 2019.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
