BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 27 Julai 2019 – Keanggotaan Special Duties dari Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menahan dua (2) orang suspek lelaki berikutan aduan kecurian beberapa peralatan memancing yang dilaporkan pada 21 Julai 2019 bertempat di salah sebuah rumah kediaman Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang Tutong.
Suspek pertama bernama Royzeualif bin Roydezuan berumur 21 tahun manakala suspek kedua bernama Shahroney bin Sahari berumur 36 tahun. Kedua-dua suspek adalah warganegara tempatan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Daripada penyiasatan Pihak Polis, suspek dipercayai telah melakukan jenayah tersebut pada sekitar waktu subuh dengan mengambil beberapa batang joran serta tempat penyimpanan peralatan pancing yang diletakkan di kawasan luar rumah.
Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 27 Julai 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh pertama (Royzeualif bin Roydezuan) telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 12 bulan di Penjara Maraburong yang bermula pada 27 Julai 2019. Manakala suspek kedua dilepaskan dengan ikat jamin mahkamah dan perbicaraan selanjutnya pada 10 Ogos 2019.
PPDB ingin menasihati kepada orang ramai untuk memastikan tidak ada menyimpan sebarang barang berharga atau barang berkepentingan di luar kawasan / halaman rumah kerana ianya boleh sahaja menarik perhatian individu-individu yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
