KUALA BELAIT, Rabu 24 Julai 2019 – Seorang lelaki warganegara tempatan telah ditahan oleh keanggotaan Special Duty Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dengan Jenayah Ceroboh di kawasan rumah kediaman Jalan Rasau By-Pass, Kampung Mumong ‘A’ Kuala Belait.
Kejadian ini dilaporkan ke Balai Polis Kuala Belait pada 15 Julai 2019 dan hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah mendapati seorang suspek dalam keadaan yang mencurigakan telah masuk ke dalam kawasan halaman rumah mangsa pada sekitar waktu subuh dan cuba untuk melakukan kegiatan jenayah.
Suspek Muhammad Wafiq Naashif bin Abdullah Anto @ Johany anak Anto dihadapkan ke Mahkamah Bandar Seri Begawan pada 24 Julai 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 441 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu ceroboh.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah dan pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 3 bulan pemenjaraan di Penjara Maraburong yang bermula pada 24 Julai 2019.
Pihak Polis menyarankan dan menasihati kepada orang ramai agar lebih peka dan berhati-hati semasa berada di rumah atau meninggalkan rumah.
Di samping itu, dikongsikan antara lain alternatif bagi pencegahan dan pengesanan jenayah ialah dengan memasang sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) atau alat penggera bunyi (Alarm System) di rumah-rumah kediaman bagi tindakan pengawasan awal serta menghubungi terus ke talian kecemasan Polis 993 atau Balai Polis yang berdekatan jika ada sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku berdekatan rumah awda.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
