BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 23 Julai 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Limau Manis pada 23 Julai 2019 telah menghadapkan seorang suspek lelaki warganegara tempatan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan kerana dipercayai terlibat dalam satu kes serangan jenayah, rosak barang serta membawa senjata merbahaya di tempat awam yang dilaporkan pada 21 Julai 2019 yang lalu.
Kejadian tersebut berlaku di kawasan Jalan Kuala Lurah dimana suspek dipercayai telah menggunakan sebilah parang lalu merosakkan kenderaan milik dua orang penjawat awam kerajaan yang hendak menuju balik ke rumah mereka selepas selesai menjalankan tugasan.
Suspek bernama Roslan bin Kumit berumur 47 tahun bekerja sebagai seorang pemandu di salah sebuah jabatan kerajaan telah berjaya ditahan bagi menjalani siasatan. Suspek disiasat dan akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 351 (serangan jenayah) dan Seksyen 426 (rosak barang) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan juga akan didakwa di bawah Seksyen 29 (1) Akta Ketenteraman Awam penggal 148 iaitu Membawa Senjata Merbahaya di tempat awam.
PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai agar jangan membuat tindakan secara melulu yang menjurus kepada perbuatan jenayah. Undang-undang negara akan sentiasa ditegakkan dan dikuatkuasakan bagi kepentingan ketenteraman dan keamanan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
