KUALA BELAIT, Ahad 21 Julai 2019 – Bersempena acara-acara malam perayaan Hari Keputeraan KDYMM, ahli Pengawasan Kejiranan anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tidak ketinggalan dalam berganding bahu bersama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan para-para pengunjung.
Oleh itu, satu rondaan pencegahan jenayah bersama ahli PK Mukim Belait Dan PK Panaga di kawasan Tudung Saji KB telah diungkayahkan oleh Focal Point (FP) Balai Polis Kuala Belait. Mengetuai rondaan pencegahan tersebut ialah ahli FP Koperal 2721 Shamsudin bin Hj Naim dan Koperal 3028 Muhd Jin bin Roseta bersama 9 orang ahli PK Mukim Belait dan 3 orang ahli PK Panaga.
Rondaan tersebut akan diteruskan dan dipergiatkan di sepanjang malam-malam perayaan.
BANDAR SERI BEGAWAN – Gerai Pasar Ria di Kawasan Lapang Letak Kereta, BSB merupakan salah satu tumpuan orang ramai bersempena musim perayaan ini. Justeru itu, beberapa keahlian PK Kg Bengkurong dan Kg Sg Bunga telah hadir bagi membuat rondaan pencegahan jenayah yang diketuai oleh Koperal 4604 Hasnan bin Ali.
Rondaan dijalankan di persekitaran dan kawasan-kawasan gerai serta tempat perkumpulan orang ramai.
TUTONG – Rondaan pencegahan turut dipertingkatkan di kawasan kediaman dan tempat-tempat tinggal di kawasan tadahan Lamunin.
Rondaan adalah bertujuan bagi menjaga keselamatan penduduk setempat beserta rumah kediaman daripada dicerobohi oleh penjenayah-penjenayah yang cuba untuk mengambil kesempatan semasa penduduk kampung meninggalkan rumah.
Mengetuai rondaan pada malam tersebut Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Polis Percubaan (P/Insp) Ak Mohd Waie @ Fathurahman Bin Pg Abdullah Sani bersama dua orang anggota balai.
Turut ikut serta menjalani rondaan tersebut Pemangku Ketua Kampung Bakiau/ Pangkalan Mau Tutong, Awang Abdul Rahim bin Haji Abd Hamid bersama empat orang ahli PK kampung tersebut.
Rondaan tertumpu di sekitar kawasan Kampung Bakiau dan Pangkalan Mau. Sepanjang rondaan dijalankan tidak ada menjumpai sebarang kejadian berhubung jenayah atau yang mencurigakan berlaku.
Usaha praktikal (rondaan bersama masyarakat) ini dilihat boleh membantu menangani dan membendung gejala jenayah daripada beleluasa dengan berorentasikan komitmen komuniti secara komprehensif. Penduduk kampung juga diharapkan agar memberikan kerjasama serta bertanggungjawab sepenuhnya dalam sama-sama menjaga kampung bebas daripada jenayah.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
