TEMBURONG, Sabtu 20 Julai 2019 – Seramai 58 orang warga asing diperiksa menerusi Operasi Sepadu yang dijalankan agensi penguatkuasaan undang-undang di dua (2) lokasi berasingan di Kg Rataie dan Kg Menengah, Temburong semalam.
Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu dilakukan bagi membanteras sebarang kegiatan-kegiatan yang berbaur jenayah dan memastikan tidak ada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Operasi semalam diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah dan Lalulintas Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis, Pengiran Azlan Shah bin Pengiran Haji Ahmad beserta 54 orang pegawai dan anggota yang terdiri daripada Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) serta Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).

Di sepanjang operasi berkenaan, 3 katon rokok pelbagai jenis serta 17 paket rokok yang tidak diisytihar ditemui kepunyaan dua (2) orang pekerja asing. Barang rampasan serta pekerja-pekerja tersebut ditahan oleh JKED dan akan disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 146 (1)(d) Perintah Eksais 2006.
Penguatkuasaan Undang-undang Daerah Temburong akan terus komited bagi menjalankan operasi sepadu sebegini bersama agensi lain dalam usaha berterusan menangani, membendung serta mencegah kegiatan-kegiatan salah dan yang melanggar peraturan undang-undang negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
