TUTONG, Khamis 18 Julai 2019 – Satu Operasi Sepadu Agensi Penguatkuasa Undang-undang telah diadakan semalam yang terdiri dari keanggotaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Balai Polis Tutong, Balai Polis Lamunin, Unit Hal Ehwal Luar, INTERPOL dan ASEANAPOL PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dan juga daripada Jabatan Buruh.
Operasi ini melibatkan seramai 90 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Md Hani.
Hasil daripada operasi yang dijalankan semalam, beberapa kesalahan telah ditemukan iaitu;
1 – JKED : Empat (4) orang ditahan atas kesalahan dipercayai memiliki barangan tegahan rokok pelbagai jenama.
2 – JIPK : Seorang (1) ditahan atas kesalahan passport mansuh manakala 3 Pass Khas dikeluarkan bagi siasatan lanjut.
3 – Buruh : 1 kesalahan berkaitan penempatan kerja dan penyalahgunaan Lesen Pekerja Asing.
KUALA BELAIT– Operasi yang sama dan pemeriksaan sekatan jalanraya turut dikendalikan di Daerah Belait yang juga melibatkan beberapa agensi penguatkuasa undang-undang semalam.
Seramai 65 orang pegawai dan anggota ikut serta yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait, Penolong Penguasa Polis ASP Muhd Fadhillah bin Haji Ibrahim. Operasi semalam telah mensasarkan 3 kawasan lokasi berasingan di Daerah Belait.
Hasil daripada operasi telah menemukan kesalahan;
1- JIPK : 5 Pass Khas dikeluarkan kepada 5 orang pekerja asing bagi siasatan lanjut.
2 – PPDB : 2 kesalahan kompaun dikeluarkan.
5 notis peringatan dikeluarkan.
Antara lain objektif operasi adalah bagi memastikan orang ramai sentiasa peka dan akur dengan peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan oleh negara ini di samping menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan sebarang kesalahan-kesalahan jenayah dan perkara-perkara yang negatif.
Operasi pada malam ini juga adalah usaha berterusan agensi-agensi Penguatkuasa undang-undang di Daerah Tutong dalam sama-sama membanteras jenayah dan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
