TUTONG, Isnin 15 Julai 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Tutong telah berjaya menahan 2 orang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi barang elektrik Hydraulic Transformer kepunyaan Jabatan Perkhidmatan Elektrik yang dilaporkan pada 14 Julai lalu berlaku di Stesen Elektrik Sub Store, Pasir Putih, Tanjong Maya, Tutong.

Suspek pertama Kusnady bin Halawi, warga tempatan berumur 35 tahun bekerja di Bahagian Kawat Atas, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan suspek kedua Gurval Singh, warganegara India berumur 43 tahun bekerja sebagai pemandu lori telah berjaya ditahan oleh Pengawal Keselamatan, Stor Stesen Elektrik yang mendapati pergerakan kedua-dua suspek amat mencurigakan.

Suspek pertama akan dihadapkan ke mahkamah pada 16 Julai bagi pertuduhan di bawah Seksyen 381 Perintah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi dari Majikan. Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman pemenjaraan yang mencapai 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara suspek kedua ditahan dalam penahanan Polis selama 48 jam bagi membantu siasatan.

Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai jika terdapat apa jua perkara yang mencurigakan, dinasihatkan agar memaklumkan secepatnya kepada pihak Polis atau mana-mana pihak yang berkenaan untuk ditangani dan diambil tindakan. Hubungi hotline Polis 993.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI