BANGAR, Ahad 14 Julai 2019 – Operasi Sepadu Penguatkuasa Undang-Undang sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang terdiri daripada Daerah Polis Temburong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Pengangkutan Darat, Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Bahagian Kawalan Makanan Halal telah dijalankan di kedua-dua pos kawalan sempadan di Daerah Temburong sejak 13 Julai lalu sehingga semalam iaitu di Kompleks Kawalan Pemeriksaan Ujong Jalan, Daerah Temburong dan Pos Kawalan Imigresen Labu.

Operasi Sepadu yang dihadiri seramai 55 pegawai dan anggota itu diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Azanudin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al Haj dan Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Polis Percubaan (P/Insp) Iman Aqilah Fikriah binti Hj Md Shafiee.

Hasil daripada Operasi selama dua hari itu berjaya mendapati 17 kes kompaun kesalahan lalulintas dan 1 kesalahan di bawah perintah kastam. Operasi pada malam tersebut adalah usaha berterusan agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Temburong dalam meningkatkan keberadaan dan keselamatan Daerah serta membanteras jenayah dan kegiatan menyalahi undang-undang sebelum dan sepanjang sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI