BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 6 Julai 2019 – Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan dua orang suspek perempuan warganegara asing ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan kerana dipercayai telah terlibat dalam satu kes curi yang berlaku pada hari Khamis 04/07/2019 di Gedung Perniagaan Supa Save Beribi Gadong.

Suspek pertama Sumerteni binti Roslan berumur 35 tahun tidak bekerja dan suspek kedua Nurul Arifah binti Roslan berumur 25 tahun juga tidak bekerja telah ditahan oleh ahli sekuriti yang bertugas dan apabila diperiksa, kedua-dua suspek mengakui ada mengambil beberapa barang dapur dan menyembunyikannya di dalam beg tangan masing-masing.

Pendakwaan dijalankan oleh DPP Syazwani binti Jumat di hadapan Majistret Pengiran Hazirah binti Pg Mohd Yussof. Tertuduh mengaku bersalah melakukan curi di bawah Seksyen 380 (curi dalam bangunan) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan dijatuhi hukuman denda sebanyak B$600 setiap seorang. Kedua-duanya membayar denda.

PPDB amat tegas dalam isu-isu melibatkan jenayah. Kesempitan hidup tidak bermakna seseorang individu itu membenarkan ia melakukan apa sahaja. Undang-undang negara perlu ditegakkan dan dikuatkuasakan bagi mencapai keamanan dan keharmonian seluruhnya.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI