BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 3 Julai 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dan berhati-hati berhubung kegiatan panggilan yang dipercayai bertujuan untuk membuat penipuan atau pun scam yang sedang tular di negara ini. Panggilan menunjukkan nombor tempatan dengan bilangan “+673xxxxxxx”.

Seterusnya, pemanggil akan memberi arahan dalam Bahasa Mandarin. Apabila pemanggil terus melayan, maka mereka akan terus menerima pelbagai alasan dan arahan lanjut.

Setakat ini, belum ada laporan kerugian yang dilaporkan kepada pihak PPDB. Pesanan ini bertujuan sebagai langkah pencegahan dan peringatan untuk orang awam supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau scam telefon jenis ini.

PPDB juga memohon bantuan institusi kewangan dan syarikat remittances untuk sentiasa memastikan pelanggan mereka sentiasa mengikut peraturan kewangan dalam penghantaran wang keluar negara. Di samping itu, peringatan supaya pelanggan tidak menghantarkan duit kepada pihak yang tidak diketahui bagi mengelakkan orang awam menjadi mangsa sindiket penipuan atau scam.

Sekali lagi PPDB ingin menasihatkan kepada orang awam agar tidak memberikan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenalpasti, terutama apabila menerima panggilan sedemikian.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI