BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 1 Julai 2019 – Operasi langkah yang dikendalikan oleh Pasukan Simpanan C Kompeni Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menggagalkan satu aktiviti kes penyeludupan barang tegahan yang dibawa oleh seorang suspek lelaki warganegara Indonesia penama Puji Santoso berumur 38 tahun bekerja sebagai pemandu di salah sebuah syarikat swasta di negara ini.

Suspek ditangkap semasa mencuba membawa masuk barang tegahan di kawasan jalan tikus Simpang 1878 Kampung Junjungan, Limau Manis.
Dalam tangkapan tersebut, pihak Pasukan Simpanan Polis C Kompeni telah merampas sejumlah 15 katon rokok pelbagai jenis dan sebuah kenderaan jenis Toyota Mark 2 warna kelabu nombor pendaftaran BR1822. Tangkapan dan ke semua barang rampasan berkenaan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi menjalankan penyiasatan.
Di bawah Seksyen 146 (1)(d) dan Seksyen 146 (1)(i) Perintah Eksais 2006. Di dalam kes barangan kesalahan eksais, bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang 6 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda atau denda sebanyak 40,000 ringgit Brunei dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda atau pemenjaraan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun atau keduanya sekali.
Sehubungan dengan itu, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan dan yang menyalahi undang-undang di negara ini.
PPDB juga akan sentiasa memantau dan memastikan aktiviti kegiatan jenayah dibendung dan dibanteras.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
