BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 24 Jun 2019 – Delegasi seramai 26 orang pelajar dari National Police Cadet Corps (NPCC), Republik Singapura bersama guru pengawas serta pegawai tiba di Negara Brunei Darussalam hari ini, bagi memulakan lawatan sambil belajar selama lima hari sehingga 28 Jun.
Rombongan yang diiketuai oleh Komandan NPCC, DSP Lee Chee Shan itu merupakan lawatan ke sembilan ke negara ini sejak bermulanya program pertukaran lawatan sambil belajar di antara kedua-dua buah negara sejak 2011.
Rombongan lawatan sambil belajar itu dihoskan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Kementerian Pendidikan bersama Pusat Latihan Polis (PLP) Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei.

Ketibaan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Komandan Pusat Latihan Polis, Penguasa Polis Matusin bin Haji Jumaat, Pegawai-pegawai PLP dan Pegawai Penyelaras Kadet Polis Diraja Brunei.
Program pertukaran lawatan sambil belajar itu dihasratkan untuk berkongsi sama pengalaman, membina hubungan baik antara kedua-dua pasukan, mempelajari amalan terbaik daripada pihak NPCC Republik Singapura dan Pasukan Kadet PPDB dengan matlamat untuk merancang dan melaksana aktiviti, membina keyakinan diri dan sikap kepimpinan serta memberikan peluang pendedahan yang lebih luas mengenai dunia luar kepada ahli pasukan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
