BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 20 Jun 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Kampong Ayer telah membuat rondaan pencegahan jenayah bersama ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampong Lumapas B.
Mengetuai rondaan tersebut Lance Koperal 4631 Mohd Sofian bin Hamzah bersama beberapa anggota balai. Turut hadir Pemangku Ketua Kampong Lumapas B, Mohammad Ali bin Tanjong Bersama dua orang ahli PK.
Rondaan dibuat di kawasan Pos Kawalan Polis Lumapas (Pintu Satu), Jalan Kecil Pawas, Jalan Pandam dan sekitarnya. Semasa rondaan di kawasan Menara DST, Jalan Tanjung Dual telah menjumpai barang tegahan rokok sebanyak 25 kotak (1250 katon) iaitu (300) katon rokok jenama ERA Full Flavour, (150) katon rokok jenama ERA Black Menthol dan (800) katon rokok jenama ERA Premium.

Barangan tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diniagakan dan penyeludupnya melarikan diri sebaik sahaja melihat ahli-ahli PK membuat rondaan.
Seramai 17 orang dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) diketuai oleh PK3 Pg Hj Mohd Amir Ilham turun di tempat kejadian dan kesemua barangan dibawa oleh JKED bagi siasatan lanjut.
Sabit kes barangan kesalahan Eksais, Perintah Eksais 2006, bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang 6 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda atau denda sebanyak 40,000 ringgit Brunei dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda atau pemenjaraan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun atau keduanya sekali.
Gandingan padu antara PPDB dan ahli-ahli PK bagi membanteras dan pencegahan jenayah semakin aktif dan ini menunjukkan hala tuju positif kefahaman masyarakat mengenai pentingnya penubuhan PK.
Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan dan yang menyalahi undang-undang di negara ini.
Di samping itu juga, pihak Polis menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
