SENGKURONG, Selasa 18 Jun 2019 – Seorang warga asing telah ditahan dalam operasi berkoordinasi mengejut bagi membanteras jenayah dijalankan di kawasan premis perniagaan Sengkurong, Daerah Brunei Muara.
Balai Polis Sengkurong Daerah Polis Brunei Muara (PPDB) bersama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah membuat pemeriksaan ke atas penghuni-penghuni di bangunan komersil yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Faisal Iswandy bin Ali Othman.

Tujuan utama operasi sepadu dijalankan adalah bagi membanteras sebarang aktiviti atau kegiatan jenayah yang melibatkan pekerja-pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Selain itu, operasi kolaborasi ini juga bertujuan bagi meningkatkan lagi koordinasi dan kerjasama padu di kalangan agensi-agensi penguatkuasa dan juga membuktikan kerajaan serius dalam menangani kegiatan jenayah.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi apa jua peraturan undang-undang di negara ini. Di samping itu juga dipohonkan masyarakat agar turut memainkan peranan yang proaktif sebagai mata dan telinga kepada Pasukan Polis dengan menyalurkan maklumat agar perkara-perkara jenayah dapat ditangani hingga peringkat akar umbi, demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
