TUTONG, Ahad 16 Jun 2019 – Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini mengesahkan menerima satu kes kemalangan yang melibatkan antara seorang pekayuh basikal lumba dan dua buah kereta berlaku di kawasan KM55.8, Lebuhraya Tutong hala ke Belait.
Anggota Balai Polis Tutong telah bertindak segera bagi membuat kawalan dan siasatan. Kenyataan dan pengesahan oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani.

Siasatan awal yang dijalankan telah mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara dua pemandu kenderaan tersebut mendapat kecederaan ringan dan punca masih dalam siasatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa berwaspada semasa memandu dan akur kepada had laju yang telah ditentukan.
Selain itu ditegaskan para pemandu dan pekayuh basikal untuk turut sama-sama berhati-hati dan bertimbang rasa serta tidak bersikap ambil mudah dan sambil lewa tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
