BRUNEI MUARA, Khamis 13 Jun 2019 – Kegiatan Perjudian berjaya terbongkar dalam satu Operasi Serbuan yang dikendalikan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat beserta Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei pada lewat malam 13 jun 2019.
Serbuan telah dijalankan di salah sebuah bilik kecil di sebuah rumah yang beralamat No. 20, Spg. 710, Kg. Masin dan telah mendapati terdapat kegiatan perjudian daun terup bernama ‘Twenty nine (29)’ yang sedang dijalankan.

Seramai 10 orang suspek lelaki ditahan yang melibatkan warga Bangladesh berusia sekitar lingkungan 30 ke 50 tahun. Pihak Polis juga menjumpai peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi iaitu 2 set daun terup serta sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian.
Kesemua suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengalu-alukan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampung setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.
Di samping itu, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi terus melalui telefon ke balai polis atau talian 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
