BRUNEI, Khamis 30 Mei 2019 – Program Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merupakan salah satu inisiatif pihak Polis dengan gandingan masyarakat awam untuk sama-sama mencegah dan membanteras sebarang gejala jenayah di negara ini.
Program PK ini sentiasa bergiat aktif dan mendapat sokongan penduduk kampung seperti membuat rondaan-rondaan pencegahan jenayah di mana tumpuan utama adalah di kawasan-kawasan yang dianggap ‘hotspot’ atau dipercayai sering berlakunya kejadian-kejadian jenayah.
TEMBURONG – Dengan hasrat memastikan keadaan kampung dalam keadaan aman dan damai, Balai Polis Bangar bersama ahli-ahli PK Kg Selangan, Parit dan Sibulu, Daerah Temburong telah mengerakkan program PK mereka dengan membuat rondaan pencegahan jenayah di beberapa kawasan kampung tersebut.
Rondaan pada jam 10 malam itu bermula daripada kawasan Puni Quarry, tempat penurunan perahu, kawasan kebun sehingga ke kawasan Kg Biang Manangah dan berakhir tanpa menemukan sebarang kesalahan.
LABI – Beberapa tempat di kawasan kampung Mendaram turut dijalankan rondaan terutama sekali di kawasan taman peranginan, rumah-rumah panjang serta rumahrumah kediaman oleh unit PK Balai Polis Labi dan ahli PK Kg Mandaram yang telah diketuai ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Sarjan Mejar 2729 Gudin bin Sunggoh.
BRUNEI MUARA – Seramai 14 orang anggota polis bersama ahli PK daripada Balai Polis Kg Ayer dan PK Kg Pudak telah turun padang bagi sama-sama menjalankan rondaan pencegahan di kampung tersebut.
Hadir bagi turut sama mendukung program ini ialah Pemangku Ketua Kampong Pudak, Awang Shahri bin Durahim selaku pengerusi PK Kg Pudak. Taklimat ringkas keselamatan sebelum menjalankan rondaan diperjelaskan yang disampaikan oleh Sarjan 3794 Matsani Bin Haji Wahab.
Sepanjang rondaan di kawasan persekitaran kawasan darat Kg Pudak berakhir pada sekitar tengah malam itu tidak menemukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Dalam pada itu, unit PK Balai Polis Limau Manis yang diketuai oleh Koperal 4044 Pg Md Iskandar juga telah membuat rondaan yang sama bersama ahli PK Kg Pengkalan Batu.
Rondaan kali ini adalah memfokuskan kepada pemantauan di kawasan-kawasan masjid, seperti Masjid Kg Masin, Kg Panchor Murai, Limau Manis, Junjungan serta Masjid Kg Pengkalan Batu. Tujuan utama adalah bagi memastikan dan mengelak dari sebarang kejadian-kejadian jenayah dilakukan semasa bulan Ramadan ini.
Dua lagi rondaan juga dibuat secara serentak oleh Balai Polis Berakas dan Balai Polis Sengkurong bersama ahli-ahli PK Kg Pancha Delima dan Kawasan 3 RPN Lambak Kanan serta ahli PK Kg Sengkurong A pada malam tersebut tanpa menemukan sebarang kesalahan mahupun kegiatan-kegiatan yang negatif.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
