MUARA, Jumaat 31 Mei 2019 – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya menggagalkan percubaan penyeludupan barangan tegahan yang berlaku di Sungai Jai Jai berdekatan kawasan Perairan Kampong Riong Putat, Brunei Muara. 

Dalam kejadian yang berlaku pada sekitar jam 2.45 pagi itu semasa rondaan sungai yang dijalankan oleh keanggotaan Polis Marin di kawasan perairan Sungai Jai Jai, Putat telah mendapati sebuah bot yang mencurigakan sedang menuju masuk ke Sungai Riong. Apabila menyedari akan kehadiran pihak polis, bot tersebut terus berpusing dan lari menghala ke Pulai Jai Jai.  

Bot berkenaan berjaya ditemui tanpa pemandu dan hasil daripada pemeriksaan awal telah mendapati sejumlah bungkusan kotak yang dipercayai barangan tegahan. 

Bot berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bagi dijalankan siasatan.  Hasil daripada rampasan yang ditemui telah menemukan barangan tegahan iaitu sebanyak 537 katon rokok pelbagai jenis, 27 botol dan 72 tin minuman keras pelbagai jenama.

Siasatan kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI