BRUNEI MUARA, Isnin 27 Mei 2019 – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) dengan kerjasama Daerah-daerah Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) serta Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) telah melaksanakan satu Operasi Sepadu bersempena dengan cuti penggal persekolahan semalam.
Operasi Sepadu ini serentak berjalan di ke empat-empat daerah dan akan berterusan diadakan bermula pada 27 Mei sehingga 2 Jun 2019 yang akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap sebarang kesalahan di bawah akta-akta yang telah diperuntukkan kepada agensi penguatkuasa undang-undang yang ikut serta di dalam operasi tersebut.
Bagi daerah Brunei dan Muara operasi ini diketuai oleh Pemangku Ketua Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan JSKLL, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Omar Ali bin Pengiran Haji Manshor. Manakala bagi daerah-daerah lain diketuai oleh pegawai siasatan lalulintas daerah polis dibantu oleh pegawai menguasa balai polis masing-masing.


Hasil daripada operasi pertama yang dijalankan semalam telah mendapati sejumlah kesalahan seperti :
BRUNEI MUARA
PPDB : 43 kesalahan kompoun dan 3 doket
JKED : Kesalahan membawa 6 kotak minuman keras dan rampasan 28 katon rokok
BKN : 1 kesalahan
JPD : 17 kesalahan
TUTONG
PPDB : 26 kesalahan kompoun
BKN : Penahanan seorang lelaki dipercayai memiliki dan memakan dadah terkawal
JKED : Rampasan rokok berbagai jenama dan barangan Vape
BELAIT
PPDB : 14 kesalahan lalulintas
TEMBURONG
PPDB : 2 kesalahan lalulintas
Tujuan operasi ini dikendalikan adalah bagi memastikan orang ramai sentiasa peka dan akur dengan peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan oleh perundangan di negara ini, di samping menasihati orang ramai untuk tidak terjebak dengan sebarang kesalahan-kesalahan jenayah dan perkara-perkara yang negatif di sepanjang cuti penggal persekolahan dan bagi menyambut hari raya aidilfitri yang bakal menjelang ini.
Di samping itu juga konsep ‘Stop & Search’ dan ‘Stop & Talk’ juga diterapkan semasa keseluruhan operasi berkenaan bagi tujuan interaksi, mewujudkan kepercayaan dan pendekatan bersama masyarakat awam dalam usaha membendung dan mencegah jenayah secara efektif di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
