SERIA, Khamis 16 Mei 2019 – Ahli Pengawasan Kejiranan STKRJ Lorong 3 Seria bergiat aktif bersama anggota Balai Polis Seria dalam mengadakan rondaan pencegahan jenayah pada bulan Ramadan ini.
Rondaan dibuat di kawasan STKRJ Lorong 3 Seria, RPN Lorong Tengah Seria dan Kedai Pekan Seria 7 yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Syed Md Afidzul Azeez bin Sheikh Hj Abu Bakar dan keanggotaan Balai Polis Seria bersama Pemangku Penghulu dan Ketua Kampung Lorong 3 Seria, Hj Saidin Bin Hj Ibrahim dan beberapa orang ahli Pengawasan Kejiranan STKRJ Lorong 3 Seria.
Rondaan pencegahan jenayah ini diadakan bertujuan bagi mencegah sebarang perbuatan jenayah atau mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam bulan Ramadan.

TUTONG – Balai Polis Tutong juga turut sama mengadakan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli Pengawasan Kejiranan Bukit Beruang.
Mengetuai rondaan Staff Sarjan 2653 Muhd Azalin bin Haji Noralimin, Focal Point Tutong bersama anggota dari Balai Polis Tutong dan 4 orang ahli PK Bukit Beruang.

Rondaan dibuat di sekitar kawasan Perumahan Teres baru Bukit Beruang, Jalan Bukit Bilid yang pada masa ini diperbaiki dan kawasan sekitarnya.
Semasa rondaan tidak ada menjumpai sebarang kejadian jenayah atau kegiatan yang mencurigakan berlaku dan untuk memastikan Pengawasan Kejiranan dapat terus berfungsi dengan berkesan, adalah disarankan kepada masyarakat awam supaya bekerjasama dengan pihak polis dalam sama-sama menjaga keselamatan di kampung masing-masing agar bebas dari sebarang kegiatan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
