BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 11 Mei 2019 – Sebanyak 13 kes curi berjaya diselesaikan oleh pihak Polis selepas berjaya menahan 2 orang suspek utama dalang kepada kejadian curi yang berlaku di kawasan Daerah Brunei dan Muara. 

Kedua-dua suspek diberkas hasil koliberasi daripada pemantauan dan siasatan anggota Special Duties yang terdiri daripada Balai Polis Pusat, Berakas dan Sengkurong. 

Suspek pertama bernama Rashidi bin Durashid berumur 35 tahun warganegara tempatan dan tidak bekerja berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Secara tidak jujur menerima barangan curi. 

Manakala suspek kedua bernama Norhamdani Shukardi bin Haji Abd Hamid warganegara tempatan berumur 46 tahun dan tidak bekerja berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi. 

Semasa siasatan pihak polis juga telah berjaya merampas kembali 5 buah kereta hasil daripada kegiatan curi berkenaan, iaitu sebuah Mitsubishi Pajero, sebuah Toyota Vios, dua buah Honda Odyssey dan sebuah Nissan Sunny. 

Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 11 Mei 2019 bagi sebutan kes. 

Hasil daripada perbicaraan, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Rashidi bin Durashid selama 18 bulan dan Norhamdani Shukardi bin Haji Abdul Hamid selama 3 tahun yang bermula pada 8 Mei 2019. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI